Kejohanan Badminton Remaja Allianz kembali lagi dalam pusingan keempat menampilkan bakat-bakat baru yang diberi pendedahan awal saingan sebenar.

Yap Zheng Kang mara ke pusingan 16 selepas kemenangan bergaya menewaskan Nik Muhammad Mifdal Aisy, pagi tadi.

Dua kemenangan terdahulu semestinya menjadi tonik semangat buat Zheng Kang untuk kekal dalam rentak terbaik selain bijak mengambil kesempatan atas setiap kesilapan mudah pihak lawan.

"Bukan mudah untuk memenangi perlawanan di sini kerana melibatkan banyak permainan di jaring.

"Tapi saya tidak mahu memikirkan terlalu banyak dan saya ingin memenangi gelaran berganda, perseorangan dan beregu," kata Zheng Kang.

Dalam pada itu, Nik Muhammad mengalihkan fokus terhadap acara beregu lelaki selepas perjalanan solonya tamat dalam pusingan 16.

Malah, dia yakin dengan kemampuannya bermain di bahagian belakang gelanggang mampu meletakkan mereka ke pusingan seterusnya, sekali gus menjuarai dalam acara itu.

"Saya berasa kekurangan daripada segi aspek latihan.

"Saya harap buat lebih baik dan memenangi acara beregu," kata Nik Muhammad.