Badminton Dunia BWF: Banyak 'kerja rumah' buat Tze Yong, kata Hendrawan
Sinar Harian
August 24, 2023 19:30 MYT
August 24, 2023 19:30 MYT
Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, mengakui masih banyak 'kerja rumah' yang perlu disudahkan oleh anak didiknya, Ng Tze Yong.
Ia susulan kekalahan pemain kelahiran Johor itu kepada jaguh Denmark, Anders Antonsen, dalam saingan pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia BWF di Copenhagen awal pagi tadi.
“Dia sudah mencuba yang terbaik dan ini adalah hasil terbaik yang boleh kami berikan pada masa ini.
“Masih banyak perlu diperbaiki dan kami akan cuba memberikan yang terbaik,” kata Hendrawan.
Dalam aksi di Royal Arena itu, Tze Yong kalah 'straight set' 22-24, 16-21.
Hendrawan memberitahu, pemain berusia 23 tahun itu telah memberikan aksi yang optimum, namun pengalaman memisahkan di antara mereka.
“Tiada alasan kekalahan Tze Yong kerana dia tewas kepada lawan lebih baik yang lebih matang dan banyak pengalaman,” ujar Hendrawan lagi.
Tze Yong sebelum itu cemerlang selepas mengalahkan wakil China yang juga pemenang pingat gangsa tahun lalu, Zhao Jun Peng, 21-19, 26-24 dalam pusingan pertama.
Kredit: Sinar Harian