Badminton Antarabangsa India: Wakil negara cipta kejutan terbesar pusingan 32

Shaiful Shamsudin
November 29, 2023 19:16 MYT
Cheam Jun Wei mencipta kejutan menewaskan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rustavito, dalam tiga set Kejohanan Badminton Antarabangsa India Syed Modi, hari ini.
Selepas menang set pertarungan dalam pertarungan sengit 23-21, Jun Wei hilang fokus dalam set kedua.
Ia membolehkan Shesar bangkit dan menang mudah 21-15 selepas satu ketika mendahului jauh di kedudukan 14-9.
Namun, momentum kemudian beralih kepada Jun Wei dalam set ketiga apabila mendahului 6-3.
Tapi Shesar bangkit untuk menyamakan kedudukan 7-7 dan selepas itu tampak bergelut dan pergerakannya di atas gelanggang kelihatan terbatas.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Jun Wei untuk di depan 13-9.
Dengan Shesar tampak kian tidak berupaya untuk memberikan tentangan, Jun Wei kemudian kutip lapan mata berturut-turut untuk menang 21-9 dan mengiringi satu lagi kejutan terbesar, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, yang meyingkirkan pilihan utama beregu campuran, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, 21-11, 25-23.
Tetapi nasib berbeza dilalui Leong Jun Hao yang tunduk kepada rakan senegara, Justin Hoh, 13-21, 17-21
#badminton #BAM