Soong Joo Ven mendedahkan dia berdepan detik mencemaskan untuk sampai ke stadium bagi menghadapi perlawanan dalam Kejohanan Badminton Antarabangsa India Syed Modi yang disifatkan oleh pemain Malaysia itu sebagai berbahaya dan telah membuatkannya berasa mual.

Joo Ven tersingkir daripada acara Super 300 di Lucknow, India itu selepas kekalahan straight set kepada pemain Perancis, Alex Lanier, malam tadi.

Begitupun, pemain berusia 28 tahun itu mendedahkan dia telah mempertaruhkan nyawanya dan lewat tiba di Akademi Badminton BBD U.P. tanpa sempat memanaskan badan.

“Perjalanan selama 20 minit bertukar menjadi perangkap kesesakan lebih sejam kerana pemandu rasmi memutuskan untuk mengambil laluan berbeza.

“Seorang pegawai seterusnya terpaksa mengeluarkan saya dari lalu lintas dan kami terpaksa berlari ke laluan bertentangan dengan menyeberangi jalan besar dan melompat melepasi pembahagi lebuh raya untuk menukar kenderaan.





“Pemandunya kemudian memandu secara melulu gara-gara berburu-buru. Akhirnya saya berasa loya yang teramat sangat selepas perjalanan gila itu. Saya tiba 10 minit sebelum perlawanan jadi saya tidak sempat memanaskan badan.

“Walaupun saya bersyukur tiba do venue, saya rasa ia benar-benar tidak bertanggungjawab dan berbahaya. Saya tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa untuk berlari melintasi lebuh raya dan di sebatang jalan raya di negara yang tidak dikenali semata-mata untuk menyelamatkan perlawanan dan mempertaruhkan nyawa saya,” luahnya di laman sosial.

Pemain nombor 74 dunia itu akhirnya tewas 16-21, 17-21 ketika berdepan lawan yang dijangka mampu diatasinya itu.