BAC: Zii Jia, Daren teruskan kemaraan, Tze Yong terkandas

Muzaffar Musa
April 27, 2022 22:14 MYT
Lee Zii Jia dan Liew Daren mara ke pusingan kedua Kejohanan Badmintan Asia (BAC) di Manila, Filipina selepas menewaskan lawan masing-masing hari ini.
Perseorangan lelaki nombor satu negara, Zii Jia, yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan itu, tidak berdepan masalah untuk menewaskan pemain China, Sun Fei Xiang, dan hanya memerlukan tempoh kurang sejam untuk mencatatkan kemenangan 19-21, 21-14, 21-14.
Zii jia seterusnya akan bertemu wakil Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, bagi penentuan ke suku akhir.
Terdahulu, perseorangan veteran negara, Daren, turut meneruskan kemaraan selepas menewaskan pemain Korea Selatan, Heo Kwanghee, 8-21, 21-10, 21-15.
Laluan berliku menanti pemain berusia 34 tahun itu apabila akan bertemu pilihan keempat dari Indonesia, Jonathan Christie, dalam pusingan kedua.
Bagaimanapun, hasrat untuk menyaksikan perseorangan meningkat naik, Ng Tze Yong, melangkah lebih jauh dalam penampilan pertamanya tidak kesampaian apabila pemain berusia 21 tahun itu terkandas dalam pusingan pertama selepas tewas kepada pilihan ketujuh dari India, S. Kidambi, 20-22, 15-21.
Turut terkandas adalah seorang lagi wakil muda negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, yang tewas kepada wakil Taiwan, Wang Tzu Wei, 14-21, 21-9, 21-18.
#badminton #Lee Zii Jia #Liew Daren #Kejohanan Badminton Asia #Ng Tze Yong #Aidil Sholeh Ali Sadikin
;