Aznil Bidin sasar pecah rekod kebangsaan di Bahrain

Saufi Tahir
October 7, 2024 19:38 MYT
Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin, menyasarkan untuk mencipta rekod kebangsaan di Kejohanan Angkat Berat Dunia (IWF) yang bermula 6 hingga 15 di Bahrain, Disember ini.
Transisi Aznil daripada kategori 61 kilogram ke 67 kilogram pada di Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji merupakan antara rencana yang dirangka bagi memastikan setiap atlet mampu menambah kutipan pingat menerusi beberapa kategori berlainan.
"Untuk kedudukan angkatan sekarang ini masih belum menjanjikan pingat lagi, kerana semakin tinggi kategori maka lagi tinggi pencapaian dan perlu ambil masa.
"InsyaAllah tahun depan. Sasaran di Bahrain adalah lebih baik daripada rekod di Komanwel baru-baru ini. Mungkin untuk capai rekod kebangsaan baru," kata Muhamad Aznil Bidin.
Sementara itu, atlet angkat berat kategori 73 kilogram negara, Muhammad Erry Hidayat, berasa tercabar dengan barisan badang seangkatan seperti Aniq Kasdan dan Aznil Bidin susulan prestasinya tidak konsisten akibat kecederaan pada bahagian ligamen siku kiri dan patella tendon sejak tiga bulan lalu.
"Semestinya rasa tercabar kerana sejak saya berlatih masih tidak pernah menang juara dunia. Tak semua orang boleh capai seperti Aniq Kasdan jadi kita perlu jaga bakat dia, kami akan berusaha untuk capai yang terbaik." tambah Erry Hidayat.
#Dunia #Kejohanan #IWF #angkat #berat #Muhamad Aznil Bidin',
;