Atletico Mineiro mempunyai sebab untuk berpesta memandangkan kelab Brazil itu memenangi gelaran Brasileirao pertama mereka dalam tempoh 50 tahun.

Kelab aktif tertua di Minas Gerais itu kembali menakluki saingan utama negara berkenaan sejak kali terakhir melakukannya 1971.

Atletico menamatkan penantian selama setengah abad itu dengan baki dua perlawanan lagi hasil kemenangan 3-2 di Bahia, sebentar tadi.

Atletico ketinggalan 0-2 dalam aksi di tempat sendiri itu tetapi sepakan penalti Hulk pada minit ke-73 dan jaringan berganda Keno dalam tempoh tiga minit memastikan pungutan mata kelab itu sudah tidak mampu lagi dikejar oleh Flamengo.




Ia merupakan trofi Brasileirao kedua buat Atletico yang merupakan penantian terpanjang dalam kejohanan itu sejak 1959.

“Sudah 50 tahun sejak kami memenangi kejuaraan terakhir, ia adalah suatu tempoh yang lama,” kata Keno sambil Atletico dilaporkan menjanjikan tatu percuma buat peminat sebagai sebahagian daripada cara mereka meraikan kejayaan itu.

"Ketika ini kami perlu meraikannya."

“Ia adalah tahun yang menakjubkan dan kami masih mempunyai tanggungjawab untuk menentang Athletico Paranaense,” kata pengurus Atletico, Cuca.

"Saya hanya boleh bayangkan apa yang dilalui peminat ketika kami ketinggalan 0-2, mereka mungkin menjerit dan memaki hamun kami. Tetapi sekarang, keputusannya adalah menggembirakan."

Hulk telah memainkan peranan penting sejak kembali ke negara kelahirannya itu menerusi Atletico -– yang turut membariskan bekas penyerang Atletico Madrid dan Chelsea, Diego Costa -– pada Januari lalu.

Pemain berusia 35 tahun itu mencatat 18 gol Brasileirao selain tujuh bantuan jaringan.

Ronaldinho, yang menghabiskan dua tahun kariernya bersama Atletico Mineiro di antara 2012 dan 2014, turut mengucapkan tahniah kepada bekas kelabnya itu melalui Instagram.

Legenda Brazil itu menulis: "Tahniah @atletico atas kempen indah yang dibina dalam Brasileirao!!! Saya sangat gembira melihat sejarah yang anda cipta"