Insiden tragik yang menimpa pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, Ahad lalu telahpun memberikan impak buruk kepada dirinya serta telah menjejaskan karier tonggak utama Harimau Malaya itu.

Faisal yang kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Shah Alam susulan disimbah asid Ahad lalu kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan.

Menerusi wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, memaklumkan bahawa Faisal sudah mula untuk makan dan sudah cuba untuk membuat latihan ringan.

Faisal atau mesra dipanggil Mickey itu bakal menerima rawatan yang menelan kos ratusan ribu ringgit.

'Skin allograft' berfungsi untuk menjadi penutup sementara untuk luka melecur yang boleh diperolehi daripada penderma manusia (meninggal dunia atau sihat) sekiranya pesakit tidak memiliki kulit yang cukup.

Rawatan itu merupakan pendekatan terbaik buat Mickey yang menderita lecur tahap empat akibat asid sulfurik pekat yang disimbah kepadanya.

Rawatan yang bakal diberikan kepada Mickey itu juga akan membantu dalam mencegah jangkitan pada luka dan mengekalkan persekitaran luka yang lembap.

Menurut Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, DR Muhammad Hazwan Khair, prosedur ini adalah salah satu pendekatan yang dapat membantu Faisal Halim dalam proses pemulihannya.

"Berdasarkan kepada pakar bedah, prosedur lanjutan itu akan berlangsung dalam minggu ini juga," kata Dr Hazwan.

Keadaan Faisal Halim kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan lanjut di hospital.