AFL: Talian hayat TRW daftar pemain tamat esok

Shaiful Shamsudin
May 13, 2024 19:43 MYT
Ketua Pegawai Operasi (COO) Liga Bolasepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, mengesahkan pihaknya memberi tempoh hingga 14 Mei kepada Kelantan FC untuk memuktamadkan pendaftaran pemain yang akan menyertai saingan Liga A1 Semi Pro 2024/2025.
Jelasnya, The Red Warriors (TRW) perlu menyenaraikan sekurang-kurangnya 20 orang pemain bagi mengharungi saingan musim baru yang dijadualkan membuka tirai pada 1 Jun depan.
Sekiranya gagal berbuat demikian, Raimi Fakri menegaskan pihaknya sedia untuk meneruskan saingan Liga A1 Semi Pro musim ini dengan hanya membabitkan penyertaan 15 buah pasukan.
"Tarikh akhir untuk mereka mendaftarkan 20 pemain adalah pada 8 Mei lalu.
"Namun, terdapat perbincangan yang mana pasukan Kelantan sendiri berjumpa AFL untuk meminta sedikit penangguhan dengan menunjukkan bukti bahawa mereka sedang berusaha.
"AFL memberikan tempoh lanjutan hingga esok.
"Kami memang bersedia sebelum sebelum umumkan 16 pasukan, tapi kami tahu kesannya.
"Kami pernah menjalankan pertandingan yang mengandungi 20 pasukan. Jadi sama ada 16 atau 15 pasukan pun tiada masalah," katanya yang ditemui dalam Majlis Pelancaran Bola Rasmi Liga A1 Semi Pro 2024/2025 serta perjanjian penajaan AFL yang berlangsung di Wisma FAM, hari ini.
#liga super #Liga-M #DemiLigaKita
;