Penyerang legenda, Safee Sali, mengakui terkejut dengan insiden serangan yang menimpa dua pemain kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim, baru-baru ini.

Pemain sayap Terengganu, Akhyar, pada Jumaat lalu dipukul dan disamun di depan sebuah kondominium di Kuala Terengganu sehingga cedera di bahagian kepala dan kaki.

Semalam, Faisal disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali sewaktu membawa keluarganya ke pusat membeli-belah di Damansara.

Ia mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pemain bola sepak di negara ini dan Safee, dalam satu wawancara Nadi Arena sebentar tadi, berasa terkejut dan gusar dengan perkembangan berkenaan.

"Saya bersimpati dengan Akhyar Rashid dan Faisal Halim. Mereka adalah tonggak skuad kebangsaan.

"Ini adalah perkara yang mengejutkan. Zaman saya, kami tidak menghadapi situasi seperti ini.

"Ia sudah pasti membuka mata semua pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan semua pemain kita, terutama pemain skuad kebangsaan, dilindungi daripada segi keselamatan, daripada segi segalanya dan daripada perkara seperti ini, yang saya rasa sangat-sangat mencemarkan imej, bukan sahaja bola sepak, tetapi ia mencerminkan jati diri masyarakat kita sebagai peminat bola sepak.

"Sewaktu zaman saya dahulu, ancamannya mungkin hanya daripada segi komen-komen di media sosial tetapi tiadalah ancaman daripada segi fizikal.

"Ini adalah satu tahap berlainan dengan niat mencederakan pemain itu sendiri dan ancaman daripada segi fizikal dan mental buat pemain.

"Saya pernah bermain di Indonesia -- kita tahu peminat mereka fanatik dan ekstrem -- tetapi saya tidak pernah lihat perkara seperti ini.

"Saya rasa ia satu perkara yang harus diberhentikan dan pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan secepat mungkin," katanya.