Kelab Bola Sepak UiTM FC menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana 2019 yang akan bermula Sabtu ini.

Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata pihaknya turut menyasarkan untuk layak ke final Piala FA dan pusingan kedua Piala Malaysia.

"Kami yakin dapat memenuhi sasaran berkenaan dengan kemasukan empat pemain import yang baharu, masing-masing seorang dari Brunei, Senegal, Uganda dan Montenegro yang akan tiba di Malaysia dalam beberapa hari lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain UiTM FC bagi saingan Liga Malaysia 2019 hari ini.

Dalam pada itu, ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, berkata pasukan berkenaan menampilkan lebih 50 peratus muka baharu bagi menghadapi saingan mencabar musim ini.

"Hanya 10 pemain daripada 29 pemain pasukan tahun ini merupakan muka lama yang bermain pada musim lepas manakala bakinya adalah muka baharu, termasuk pemain import," katanya.

Pada masa sama, Ismail yakin beliau tidak berdepan masalah untuk melatih pasukan berkenaan yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar universiti berkenaan.

“Mereka ini 'pemain yang berfikir' dan cepat belajar tetapi mereka perlu pendedahan yang luas, sebab itu kita banyak adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Super seperti Selangor dan Melaka United," kata Ismail yang pernah mengendalikan beberapa pasukan tempatan seperti Kuantan FA dan Sime Darby FC.

UiTM FC bakal menggunakan jersi ungu sebagai jersi utama dan jersi merah sebagai jersi kedua daripada jenama Puma.

Skuad The Lion Troops akan memulakan saingan Liga Perdana 2019 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini.

Untuk rekod, UiTM FC menduduki tangga kesembilan daripada 11 pasukan dalam saingan Liga Perdana 2018. Mereka sekadar mara sehingga ke pusingan ketiga Piala FA, namun gagal layak beraksi ke Piala Malaysia.