Jurgen Klopp percaya Liverpool telah mensia-siakan peluang Liga Europa mereka di Anfield minggu lalu sambil menegaskan ketumpulan Mohamed Salah di depan gawang bukan punca mereka tersingkir daripada suku akhir menentang Atalanta.

Liverpool tidak mampu mengatasi defisit 0-3 dalam suku akhir pertama walaupun menguasai separuh masa pertama dan Salah menyumbangkan gol melalui sepakan penalti.

Kemenangan 1-0 itu menandakan perlawanan terakhir Liverpool di peringkat Eropah di bawah kendalian Klopp. Pengurus Liverpool itu mengakui kegagalan menambah gol kedua menjadi titik tolak pertemuan di Bergamo berkenaan, namun enggan menyalahkan Salah yang terlepas peluang berharga.

“Kami tidak tewas dalam perlawanan malam ini, kami kalah di tempat sendiri minggu lalu,” kata pengurus Liverpool itu.

“Sangat mudah untuk mengucapkan tahniah kepada Atalanta kerana mereka sememangnya layak untuk mara. Apabila anda menang 3-1 ke atas kami terutama dengan cara ini, maka anda layak mendapatnya.




“Begitupun, saya menyukai corak permainan kami, lebih-lebih pada permulaan permainan. Saya menyukai komitmen, keinginan dan kuasa yang anak buah saya kembangkan dalam permainan ini, malah kami mempunyai peluang yang lebih menarik dari masa ke semasa dan jika tidak menjaringkan gol, ia boleh menjadi rumit selama 90 minit.

"Gol kedua mungkin sedikit sebanyak boleh membantu. Atalanta mula yakin tetapi dengan beberapa situasi yang kami hadapi, saya rasa kami mencetuskan beberapa kebimbangan dan pihak lawan sedar bahawa ia tidak mudah dan itulah tekanan yang kami berikan. Saya benar-benar berasa senang dengannya. Saya cuma ralat tidak mara tetapi tiada rasa kecewa atau marah.”