Team Sapura Cycling (TSC) kini dapat memberikan tumpuan penuh terhadap cabaran musim 2019 selepas isu pendaftaran pasukan itu bersama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selesai.

Kedudukan TSC sebagai pasukan berstatus benua di bawah naungan PKBM menjadi tanda tanya berikutan ketiadaan beberapa dokumen penting dalam proses pendaftaran.

Namun, pengurus pasukan, Sayuti Zahit, menjelaskan perkara itu telah diselesaikan selepas mendapat maklum balas positif daripada Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab, semalam.

Ia menjadikan mereka sebagai pasukan kedua melengkapkan pendaftaran selepas Terengganu Cycling Team (TSG).

Status pasukan Forca Amskins Racing (FAR), bagaimanapun, masih samar berikutan kelewatan mereka untuk mendaftarkan pasukan.

"Isu berkenaan telah diselesaikan semalam.

"Kami telah melengkapkan dokumen seperti yang dipinta.

"Kami mahu berterima kasih kepada presiden PKBM kerana prihatin terhadap isu ini," kata Sayuti.

Dalam pada itu, Sayuti menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan pelumba tempatan di sebalik persaingan daripada kudrat import.

TSC, yang mengharungi musim ketiga dalam Siri Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), berjaya mendapatkan khidmat pelumba dari Moldova, Cristian Raileanu, serta dua pelumba Australia, Marcus Culey dan Benjamin Dyball.

Cabaran pertama mereka tahun ini ialah Jelajah Herald Sun di Australia hujung bulan ini.

"Sasaran utama kami adalah untuk melayakkan pelumba tempatan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami sedang berusaha untuk membawa pelumba tempatan menyertai sebanyak mungkin kejohanan," tambahnya.