Selangor FC mengesahkan tidak akan turun ke selatan tanah air bagi menghadapi Perlawanan Sumbangsih Jumaat ini.

Pembukaan saingan Liga Super Malaysia 2024/25, perlawanan Sumbangsih mempertemukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah telah dijadualkan diteruskan Jumaat ini.

Bagaimanpun, perlawanan akan dilangsungkan 10 Mei 2024 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri bakal tidak disertai skuad Gergasi Merah itu.



"Selangor FC telah mengambil maklum keputusan MFL untuk tetap meneruskan Perlawanan Sumbangsih yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024," menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab.

"Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan daripada insiden jenaya serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke Perlawanan Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.

"Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan.

"Segala kesulitan amat dikesali."

Terdahulu, SFC telah berusaha untuk menunda aksi pembuka musim itu atas faktor keselamatan.

Ia berikutan siri serangan yang dihadapi barisan pemain negara, bermula dengan pemain pinjaman Terengganu, Akhyar Rashid yang disamun di Kuala Terengganu sebelum Faisal Halim telah disimbah asid manakala dua hari kemudian cermin belakang kereta milik Safiq Rahim dipecah menggunakan tukul besi.