Novak Djokovic mara ke separuh akhir Terbuka Australia selepas Kei Nishikori menarik diri ekoran kecederaan paha dalam set kedua.

Nishikori dipaksa beraksi dalam lima set untuk melangkah ke suku akhir dan tempoh permainan yang panjang telah menyaksikan dia mengalami kecederaan paha sebelum berdepan Djokovic di Arena Rod Laver, hari ini.

Pemain pilihan kelapan itu bergelut sepanjang permainan hingga meminta pegawai perubatan untuk merawat kecederaan paha kanan pada penghujung set pertama yang dimenangi Djokovic 6-1 dan dia ketinggalan 4-1 dalam set kedua sebelum menarik diri daripada perlawanan tersebut.

Djokovic turut memberitahu dia bertarung untuk mendapatkan tahap kecergasannya selepas berdepan Daniil Medvedev dalam pusingan keempat tetapi masalah yang dialami oleh pemain kelahiran Jepun itu kelihatan lebih ketara di Melbourne Park.

Pemain nombor satu dunia itu menjadi pilihan terbaik untuk menjulang gelaran Terbuka Australia buat kali ketujuh selepas melangkah ke separuh akhir dalam tempoh 52 minit di gelanggang.

Halangan buat Djokovic dalam separuh akhir adalah Lucas Pouille yang mengatasi Milos Raonic dalam aksi terdahulu.