ESPANYOL 2 REAL MADRID 4

Santiago Solari berkata skuad Real Madrid menaruh kepercayaan penuh kepada Karim Benzema selepas penyerang itu mencetuskan inspirasi ketika mereka menghadapi Espanyol.


Benzema mengakhiri kemarau jaringan dalam tiga perlawanan apabila dia menyumbat gol dari jarak dekat ketika perlawanan baru berusia empat minit dalam kemenangan 4-2 dalam LaLiga awal pagi tadi sebelum menggandakan kedudukan pasukannya dengan penyudah licik di penghujung separuh masa pertama.

Dia turut memainkan peranan penting dalam jaringan keempat Madrid apabila melakukan gelecekan di bahagian sayap sebelum bergabung dengan Lucas Vazquez untuk mencipta bantuan gol kepada pemain gantian, Gareth Bale, yang baru kembali daripada kecederaan dan selepas itu tidak bernasib baik apabila lorongannya gagal disudahkan Dani Carvajal.

Lantaran itu, Solari memuji pemain berusia 31 tahun tersebut yang kini menyumbang sembilan gol dalam kempen LaLiga musim ini.

"Dia selalu memperagakan persembahan yang lengkap, malah dia juga menjaringkan dua gol yang menarik," kata Solari dalam sidang akhbar.

"Kami benar-benar menaruh kepercayaan kepadanya dan dia membuktikan kualitinya lebih daripada biasa sepanjang musim ini."

Rakan sepasukan, Vazquez, sependapat dengan Solari sambil menambah pemain dari Perancis itu harus dianggap sebagai penggempur paling lengkap di dunia.

"Saya berasakan Benzema telah membuktikan kepada kita bahawa dia adalah pemain nombor sembilan terbaik di dunia," kata Vazquez kepada wartawan.

"Dia bekerja keras untuk pasukan, bekerjasama dengan rakan sepasukann, dia hebat."

Jaringan Bale -- rembatan deras dengan memusingkan badan -- terbukti getir buat Madrid selepas Raphael Varane dilayangkan kad merah yang membuka peluang kepada Espanyol untuk menjadikan kedudukan 4-2 melalui Roberto Rosales.

Bekas penyerang Tottenham itu terus dihantui kecederaan, namun Solari yakin Bale akan kembali menyerlahkan prestasi terbaiknya tidak lama lagi.

"Gareth merupakan tonggak penting. Dia sering menjaringkan gol. Dia meledak gol sebaik sahaja dimasukkan dan itu bagus untuk permainan dan keyakinannya," kata Solari kepada saluran televisyen rasmi Real Madrid.

"Dia harus bangkit selangkah demi selangkah. Sejak Kejohanan Piala Dunia Kelab yang lalu, dia menyumbat tiga gol.

"Inilah Gareth yang kami mahu lihat sepanjang masa, dia dahagakan gol."