Bimbingan bertaraf Sukan Olimpik menjadi motivasi buat atlet renang negara, Welson Sim, yang turut mengidamkan slot secara merit ke temasya itu buat kali kedua berturut-turut dengan membuat keputusan drastik untuk menjalani latihan intensif secara berseorangan di Australia.

Welson akan berkelana ke Melbourne selama lima bulan.

Dia akan berlatih di bawah seliaan jurulatih renang terkenal, Craig Jackson, yang pernah membimbing Mack Horton memenangi pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016.

Cadangan Welson itu dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) selepas masalah melibatkan pihak penajaan berjaya diselesaikan.

Cadangan itu dikemukakan ekoran Welson tempang tanpa jurulatih selepas Paul Birmingham tidak dilanjutkan kontrak dan jurulatih baru, Bart Kizierowski, pula masih belum tiba.

"Saya akan berlatih bersama juara Olimpik, Mack Horton, di Kelab Renang Melbourne.

"Dia akan menjadi rakan sepelatih saya dan saya juga akan menjalani latihan di bawah jurulatihnya," katanya.

Dengan latihan intensif itu, Welson berharap dapat layak secara merit ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi catatan kategori A bagi acara 400 meter gaya bebas.

Welson pernah mencipta sensasi ketika edisi Rio 2016 selepas muncul atlet pertama negara layak secara merit ke temasya itu menerusi acara 200 meter dan 400 meter gaya bebas.

"Pembiayaan latihan itu bukan murah dan sudah pasti pihak penaja mahu melihat hasilnya.

"Sasaran utama saya adalah untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik 2020 dan memenangi dua pingat emas dalam Sukan SEA Filipina Disember ini," tambahnya.