Emiliano Sala bukan pun seorang pemain ternama. Tidak juga perpindahannya daripada Nantes ke Cardiff City dengan rekod yuran perpindahan kelab menjulang namanya kecuali nahas pesawat ringan yang membuat dia dikenali dalam sekelip mata.

Pada usia ranum 28 tahun, penyerang dari Argentina itu baru menyempurnakan satu perjanjian bernilai berjuta-juta dolar yang harus mengangkat kariernya ke aras berikutnya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sehinggalah tragedi datang mengundang pada malam Isnin lalu.

Selepas menandatangani perjanjian di Cardiff City, Sabtu lalu, dia kembali ke Nantes dengan pesawat berkapasiti tujuh penumpang yang disewa khas itu. Pesawat Piper Malibu berkipas tunggal yang sama itulah yang dikhuatiri terhempas bersamanya di Selat Inggeris, malam Isnin lalu.



Sambil usaha mencari dan menyelamatnya diteruskan buat hari keempat – peluang untuk dia ditemui hidup teramat tipis di laut bergelora dan bersuhu hampir ke paras beku – ramai yang tampil untuk berkongsi pelbagai kisah mengenai pemain berusia 28 tahun itu.

Seperti dilaporkan CNN, mereka rata-rata bercakap mengenai seorang anak muda yang sentiasa meluangkan masa buat orang lain dan seorang pemburu impian yang bekerja keras untuk meraih peluang besarnya dalam bola sepak.

Anak kepada seorang pemandu van di kampung halamannya di Cululu, Argentina, Sala bercita-cita untuk mencapai aras tertinggi dalam kariernya – itu yang mendorong dia meninggalkan keluarga ketika masih belasan tahun untuk membalas kepercayaan mereka.

Perpindahannya ke Cardiff memenuhi impiannya ketika kanak-kanak untuk bermain dalam salah satu liga terbesar di dunia di samping dihasratkan dapat membantu meringankan beban kesempitan yang ditanggung keluarganya.

Bapanya, Horacio, yang hanya beberapa hari lalu meraikan kejayaan anaknya diterima dalam kerabat EPL, paling terkesan dengan nahas yang menimpanya sebelum dia sempat menyepak bola pertama dalam saingan bola sepak Inggeris.

“Dia baik-baik saja, dia sangat gembira dengan langkah berikutnya… sebuah kelab lebih besar yang membolehkannya beraksi dalam EPL. Dia sangat gembira. Tapi (dengan nahas yang berlaku), saya tidak dapat menjelaskan semua ini,” Horacio dipetik sebagai berkata.

Kisah Sala yang menyayat hati menyentuh perasaan ramai dari negara asalnya, Argentina, hingga ke Eropah.

Seperti ramai yang menerjuni untung nasib dalam bola sepak lebih dahulu daripadanya, Sala turut menelusuri liku-liku yang tidak menjanjikan sebarang kepastian dari Amerika Selatan ke Eropah dengan harapan untuk mencipta nama dan kekayaan dalam sukan yang disukai ramai itu.

Malah, buat ramai anak muda yang seangkatan dengannya di Argentina, Sala, yang menghabiskan sebahagian besar kariernya di Perancis bersama Bordeaux pada 2010 di samping tempoh pinjaman bersama Orleans, Niort dan Caen sebelum menyertai Nantes pada 2015, turut menjadi kebanggaan mereka.



Perpindahannya ke Cardiff turut dialu-alukan penyokong kelab itu dengan bersemangat pada ketika The Bluebirds kendalian Neil Warnock itu bergelut di kelompok terbawah liga dan terdesak mendapatkan gol-gol yang mampu mengekalkan mereka dalam EPL musim depan.

“Saya berasa sangat gembira untuk berada di sini,” kata Sala dalam laman web rasmi Cardiff sejurus memeterai perjanjian tiga setengah tahunnya, Sabtu lalu.

“Saya tidak sabar untuk bertemu rakan sepasukan baru dan memulakan latihan (Selasa lalu). Saya memilih kelab ini untuk bekerja keras membantu rakan sepasukan dan kelab. Saya berjanji akan melakukan segala yang terdaya.”

Malangnya, pada ketika peluang besar datang mengundang, maut pula datang menyapa.

“Dia bekerja keras untuk ini hanya untuk segalanya lenyap secara tiba-tiba,” kata rakan sepasukan Sala ketika di Bordeaux, Thomas Toure, kepada L'Equipe.

Impiannya itu bersemadi bersamanya di mahligai syahdu.