Pelari pecut negara, Russel Nasir Taib, memburu rekod kebangsaan acara 200 meter milik Khairul Hafiz Jantan selepas mencipta kejutan dengan mencatatkan masa 20.94 saat ketika meraih pingat emas Kejohanan Shield Series di Brisbane, Australia, semalam.

Catatan itu hanya kekurangan 0.04 saat berbanding rekod kebangsaan.

Russel berada di landasan tepat untuk menjadi bintang baru skuad olahraga negara.

Pelari berusia 21 tahun itu mempamerkan aksi mantap ketika menjuarai saingan di Brisbane itu, sekali gus menghampiri rekod kebangsaan 20.90 saat yang dilakukan Khairul Hafiz pada 2017.

Ia meletakkan Russel di ranking pertama Malaysia dalam acara 200 meter mengatasi Khairul dan pelari senior lain seperti Muhammad Aqil Yasmin dan Jonathan Nyepa.

"Saya amat gembira untuk mencatatkan 20.94 saat semalam di mana catatan itu akan melayakkan saya untuk beraksi dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

"Saya berharap dapat terpilih untuk mewakili Malaysia bagi kejohanan yang akan datang.

"Buat masa ini, saya akan fokus untuk mengekalkan prestasi terbaik dan terus menyerlah dalam kejohanan di Australia.

"Tentang rekod kebangsaan acara 200 meter, saya masih berusaha untuk memecahkannya.

"Saya berharap dengan usaha yang saya lakukan bersama jurulatih di sini, saya mampu untuk menjadi juara seperti Khairul Hafiz," katanya.

Russel, yang kini menuntut di University of Sunshine Coast, Queensland, layak untuk menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Qatar (April), Sukan Universiti Dunia di Itali (Julai) dan di landasan tepat untuk melepasi had kelayakan Sukan SEA Filipina (Disember).

Sementara itu, prestasi yang dipamerkan Russel meningkatkan persaingan dalam perebutan tiket ke kejohanan utama tahun ini.

Ketika ini, skuad olahraga negara dibarisi Khairul Hafiz, Jonathan, Badrul Hisham Abdul Manap dan pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Aqil.

Apa yang menarik, hanya dua pelari akan terpilih untuk mewakili negara dalam kejohanan utama 2019 seperti Kejohanan Olahraga Asia, Sukan Universiti Dunia dan Sukan SEA Filipina.

Kesemua pelari itu memiliki jurulatih berbeza, sekali gus meningkatkan tahap persaingan antara mereka.

"Apabila mendengar mengenai perkhabaran itu, saya menganggap ia sebagai satu cabaran buat saya.

"Saya baru sahaja menyertai Sukma dan Sukan Universiti ASEAN dan hanya berehat selama seminggu.

"Sekarang sudah masuk fasa pra-kejohanan.

"Saya akan menyertai Kejohanan Perak All-Comers bulan depan dan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, sebulan selepas itu," kata Aqil.