Sebastian Vettel tertekan untuk menghadapi musim 2019 selepas gagal menghalang pelumba Mercedes, Lewis Hamliton, meraih kejuaraan berturut-turut Formula Satu, kata Nico Rosberg.

Vettel menamatkan saingan dua musim terakhir Formula Satu sebagai naib juara di belakang Hamilton.

Dalam kedua-dua musim tersebut, pelumba kelahiran Jerman itu kehilangan peluang kejuaraan pada separuh kedua kalendar perlumbaan.

Pada tahun lalu, aksi konsisten pasukan Silver Arrows menyukarkan Vettel yang mewakili Ferrari untuk bersaing dengan Hamilton -- meraih kejuaraan kategori pemandunya yang kelima menerusi kelebihan 88 mata.

Selepas memenangi empat kejuaraan berturut-turut bersama pasukan Red Bull dari tahun 2010, Vettel tidak pernah mengulangi pencapaian itu bersama Ferrari dan Rosberg berasakan bekas seterunya itu perlu membuktikan sesuatu musim ini.

"Dia pasti tertekan, sangat-sangat tertekan," katanya kepada Sky Sports.

"Dia (Vettel) pasti akan berasakannya, saya pasti.

"Dia telah melalui tekanan yang sama tahun lalu dan ia pasti semakin bertambah kerana apabila anda mewakili Ferrari, anda mewakili keseluruhan Itali.

"Dia perlu memperbaiki cara pemanduan dan pasukannya juga perlu meningkat secara keseluruhan.

"Mereka melakukan terlalu banyak kesalahan tahun lalu dan mereka sepatutnya mampu meraih kejuaraan.

"Mereka telah melakukan perubahan besar dengan menukar ketua pasukan, Maurizio Arrivabene, dengan Mattia Binotto.

"Mereka telah menukar individu di kedudukan tertinggi pasukan itu.

"Mereka juga menukar rakan sepasukan Sebastian dengan memasukkan Charles Leclerc.

"Perubahan itu mampu menghasilkan dinamik yang amat positif, namun mungkin juga memberikan sesuatu yang negatif dan memakan diri.

"Ia amat menarik untuk disaksikan musim ini.

"Mereka perlu bangkit kerana mereka mampu melakukannya," katanya.