Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) membidas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) susulan kegagalannya membuat pembayaran gaji pemain 2019 tatkala hanya bergantung kepada geran untuk menyelesaikan tunggakan gaji lama.

Belumpun reda dengan isu gaji lama, PFA terus dihimpit kemelut sama apabila penyerang Perlis, Safee Sali, mengakui persatuan itu hanya akan membuat pembayaran gaji bagi pemain musim 2019 sebelum sepak mula Liga Malaysia esok.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, tanpa berselindung menyatakan rasa kecewa ekoran situasi yang melanda pasukan yang baru dinaikkan ke Liga Perdana itu -- yang dilihat ramai melalui pintu belakang.

"Kami di PFAM berasa amat berdukacita dengan keadaan ini. Ia tentunya membebankan pemain menjelang musim baru. Kami berharap agar Perlis dapat lebih proaktif dalam menyelesaikan kemelut ini," ujarnya.

Dalam masa sama, Izham menyeru agar setiap pemain benar-benar faham isi kandungan kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini susulan wujud dakwaan bahawa terdapat sesetengah pemain Perlis ingin meninggalkan pasukan itu sekiranya isu gaji masih tidak dapat diselesaikan.

"Kalau mengikut kontrak, pemain semestinya berhak memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga dan saya menyarankan kepada semua pemain agar memahami kontrak mereka dengan sebaik-baiknyanya."