Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mahu melahirkan pemain muda berwibawa agar menjadi buruan pasukan lain, termasuk FC Barcelona.

Walaupun ia bunyinya seperti satu gurauan, nada Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, nyata serius mahu mengembangkan bakat pemain muda The Bos Gaurus.

"Perak mahu melahirkan bintang muda agar esok atau lusa mereka menjadi buruan pasukan lain termasuk kelab dunia, Barcelona.

"Perak ada ramai pemain muda berbakat dan akan kembangkan bakat mereka agar kami tidak perlu bergantung kepada pemain import tidak lama lagi," kata Menteri Besar Perak itu selepas pelancaran pasukan Liga Super Perak musim 2019/2020 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), malam tadi.

Kira-kira 10,000 penyokong hadir ke majlis penuh berwarna-warni dan meriah itu untuk meraikan wira-wira mereka yang menjulang Piala Malaysia 2018.

Ahmad Faizal berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada Perak akan mengambil khidmat pemain import kelima, khususnya bagi menghadapi kelayakan Piala ACL/AFF 2019 tidak lama lagi.

"Tidak perlu import kelima, sebaliknya kami akan bagi peluang kepada pemain tempatan agar mereka dapat pendedahan, terutama dalam ACL nanti," katanya.

PAFA setakat ini hanya menggunakan empat import dengan mengekalkan trio Brazil -- Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos, Wunder Luiz Biten Court Junior -- dan mendapatkan khidmat Zac Anderson.

Sementara itu, pemain tempatan yang dipancing untuk menyertai juara Puala Malaysia 2018 itu ialah J. Partiban dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi lain beberapa pemain skuad Piala Presiden.