Lebih 10,000 penyokong setia pasukan The Bos Gaurus hadir menyaksikan Pelancaran Kit Pasukan Liga Super Perak Musim 2019/2020 yang dirasmikan Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di Dataran Bandaraya Ipoh, malam tadi.

Pelancaran penuh meriah itu menyaksikan dua jersi baharu pasukan Juara Piala Malaysia itu yang ditaja Umbro dilancarkan dengan jersi pertama berwarna kuning, putih, hitam untuk perlawanan di gelanggang tuan rumah manakala jersi kedua yang berwarna hitam, kuning, putih untuk perlawanan di gelanggang lawan.

Lebih unik, jersi pasukan The Bos Gaurus kali ini turut memaparkan perkataan ‘Quit Smoking’ dan ‘Save Water’ sebagai langkah menyokong hasrat kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di negara ini dan penjimatan air.

Selain pelancaran seragam pasukan, Perak turut memperkenalkan skuad musim ini dengan mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu dan juga jurulatih, Mehmed Durakovic.

Perak mengekalkan tiga awang import musim lalu, iaitu Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva, selain mendapatkan khidmat bekas pertahanan PKNS FC yang juga pemain kelahiran Australia, Zac Anderson.

Selain itu, Perak turut diperkuatkan dengan kehadiran penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, di samping mengekalkan pemain kacukan kelahiran Australia, Brendan Gan, ketua pasukan, Shahrul Saad, dan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jot,hy.

Pelancaran yang diacarakan penyampai radio, Radin Amir, itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan Datuk Awie, Baby Shima, Zizi Kirana, Ruffedge dan Ella.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata Perak tidak membuat perubahan yang besar dan mengekalkan sebahagian besar pemain musim lalu disebabkan berpuas hati dengan prestasi sebagai juara Piala Malaysia.

“Tidak banyak perbezaan skuad kerana kami adalah juara Piala Malaysia dan juga naib juara Liga Super musim lalu, Insya-Allah pada tahun ini, kami akan cuba sebaik-baiknya dan kali ni juga kami akan bertanding di peringkat antarabangsa (play-off Liga Juara-Juara Asia).

“Kami akan bawa mesej ke peringkat antarabangsa, iaitu logo ‘quit smoking’ (berhenti merokok) dan juga pesanan dari Lembaga Air Perak (LAP) untuk menjimatkan air dan mesej ini akan tertera di jersi pasukan,” katanya.