Pengendali PDRM FA, Fauzi Pilus, menyambut baik keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan penggunaan Stadium Selayang sebagai venue tuan rumah pasukan itu.

Sebelum ini, PDRM mencadangkan penggunaan Stadium Tanjung Malim, Perak, sebagai pilihan untuk mereka bertindak selaku tuan rumah.

Begitupun, disebabkan faktor kos dan juga tempoh perjalanan, pengurusan pasukan pada saat-saat akhir membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan bagi penggunaan Stadium Selayang.

Kelulusan sudah diberikan MFL, Isnin lalu, dengan skuad Sang Saka Biru itu akan menggunakan venue berkenaan bagi empat perlawanan mereka selaku tuan rumah sehingga 9 Mac.

Selain PDRM, Selangor United juga akan menggunakan Stadium Selayang dengan waktu sepak mula ditetapkan jam 4.45 petang.

"Stadium Selayang berdekatan dengan pusat latihan kami, tambahan pula kami akan mendapat suntikan semangat daripada penyokong dalam kalangan anggota polis.

"Oleh kerana gelanggang ini terletak di Lembah Klang, ia akan memendekkan masa perjalanan kami dan boleh membantu pemain," katanya.

PDRM akan membuka kempen Liga Perdana musim 2019 dengan menerima kunjungan UiTM FC, esok.

Mengulas mengenai kemampuan lawan mereka itu, Fauzi percaya beberapa aksi awal liga ini akan menentukan sejauh mana kualiti yang ada dalam pasukan masing-masing bagi mencabar kedudukan teratas liga.

"Tidak dinafikan setiap pasukan mempunyai percaturan tersendiri, apatah lagi UiTM kini dibimbing Ismail Zakaria.

"Esok adalah cabaran pertama dan kami akan fokus kepada satu persatu perlawanan.

"Inilah detik yang dinantikan setiap pasukan dan peminat untuk melihat kemampuan pasukan pilihan masing-masing," ujarnya.