Atlet menembak negara, Johnathan Wong, terpaksa berputih mata apabila gagal menempah slot ke final acara 10m Air Pistol dalam Sukan Olimpik Paris 2024, sebentar tadi.

Penembak berusia 32 tahun itu meraih 570 mata dan berada di kedudukan ke-26 selain menerima hakikat menjadi atlet negara pertama pulang awal dan menamatkan cabaran di temasya berprestij itu.

"Secara peribadi, kedudukan akhir sangat tidak memuaskan kerana saya mensasarkan mata yang lebih tinggi sebelum datang ke sini.

"Namun, saya mengakui bahawa kem latihan sudah melakukan persiapan yang tinggi tetapi kecewa tidak menghasilkan pencapaian yang diimpikan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerana memberikan sokongan dan membantu saya," katanya.