Ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil, akur dia perlu mengetepikan sebarang sentimen peribadi untuk menidakkan individu yang digelarnya sebagai "bos" dalam tempoh 90 minit di Stadium Shah Alam, Ahad ini,

Individu itu adalah ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, yang akan sentiasa dikenang Nidzam sebagai mentornya.

Dalam dua musim terdahulu, Nidzam berguru dengan Sathiantahan yang bertindak sebagai ketua jurulatih Felda United.

Sentimen di antara mereka menjadi naratif menarik terhadap pertembungan Liga Super, Ahad ini, apatah lagi Nidzam pernah menempa nama dalam bola sepak Malaysia sewaktu menyarung jersi The Red Giants.

"Kami masih sangat rapat hingga hari ini.

"Sathianathan masih lagi bos saya dan sampai bila-bila dia akan menjadi bos saya.

"Namun, untuk 90 minit di atas padang, saya akan mencuba untuk memberikan yang terbaik buat majikan saya.

"Secara profesional, saya perlu memberikan yang terbaik buat pemain saya dan memberikan kepercayaan penuh kepada mereka.

"Saya percaya Sathianathan juga akan berdepan situasi sama seperti saya.

"Kami perlu melupakan persahabatan ini kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan," katanya.

Nidzam, dalam pada itu, menawarkan perspektif peribadi terhadap apa yang boleh dijangkakan penyokong kedua-dua pasukan yang akan berkunjung ke Stadium Shah Alam menjelang perlawanan dengan Felda United itu akan mencuba untuk mencetuskan sensasi.

"Bagi kami, kami akan datang ke sana untuk mendapatkan keputusan yang baik dan memberikan tekanan kepada mereka.

"Kami akan mencuba untuk memberikan aksi 100 peratus.

"Berdasarkan aksi pra-musim sebelum ini, benar masih banyak yang perlu diperbaiki, namun bagi aksi menentang Selangor, ia akan menjadi perlawanan yang hebat dan saya amat teruja untuk menentang mereka hujung minggu ini," tambahnya.