CRYSTAL PALACE 2 TOTTENHAM 0

Mauricio Pochettino berkata pergelutan Tottenham musim ini melangkaui jangkaannya selepas skuad kendaliannya tersingkir daripada dua kejohanan dalam tempoh empat hari.


Ia susulan kekalahan kepada Chelsea melalui penentuan penalti dalam aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) sebelum rebah 0-2 kepada Crystal Palace dalam pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Gol daripada Connor Wickham dan bekas pemain sayap Spurs, Andros Townsend, menjadi pemisah dalam aksi di Selhurst Park itu dan Pochettino tidak berselindung bahawa skuadnya beraksi di bawah tahap sebenar.

"Ia adalah keputusan yang adil," kata Pochettino kepada wartawan.

"Mereka menjaringkan gol dan kami tidak melakukan apa-apa.

"Kami boleh bercakap mengenai penguasaan bola dan mencipta peluang tetapi jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak patut memenangi perlawanan."

Pochettino membuat lapan perubahan dalam skuadnya dengan hanya Paulo Gazzaniga, Jan Vertonghen dan Fernando Llorente dikekalkan dalam kesebelasan skuad yang menyaksikan mereka tewas kepada Chelsea.

Dengan Harry Kane dan Dele Alli tercedera manakala Son Heung-min baru pulang daripada kempen Piala Asia 2019, Tottenham berdepan masalah di jentera serangan apabila melepaskan deretan peluang untuk bangkit, termasuk kegagalan penalti Kieran Trippier.

Kekalahan itu akan memberi peluang buat Spurs untuk fokus kepada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila memiliki jurang sembilan mata dengan Liverpool selain pertemuan dengan Borussia Dortmund dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), namun Pochettino menjelaskan dia harus membuat perubahan ke atas skuadnya.

Pochettino berkata: "Kami mengharungi jadual perlawanan yang gila dan kami terpaksa membuat beberapa perubahan. Musim ini adalah sukar dan ia akan menjadi cabaran besar buat kami.

"Kami sedar ia akan menjadi musim yang sukar tetapi tidaklah sesukar ini.

"Kami tersingkir dalam dua kejohanan sejak Rabu lalu (Khamis lalu) dan kami kecewa."

Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, memuji Wickham setelah menyumbat gol pertamanya dalam tempoh dua tahun setelah berehat panjang akibat kecederaan lutut yang serius.

"Ini pujian khusus terhadapnya," kata Hodgson mengenai pemain berusia 25 tahun itu yang menjaringkan gol pada minit kesembilan.

"Connor menjaringkan gol dan ia adalah berita gembira, dia bekerja keras untuk merebut tempat. Saya memutuskan untuk merehatkan Jordan (Ayew) supaya dia diberi kesempatan."

Selepas kekalahan kepada Watford dan Liverpool, Palace bakal menghadapi pertemuan dengan Southampton, Fulham dan West Ham.

Hodgson menambah: "Saya tidak fikir kami memerlukan sesuatu untuk mengubah pendekatan atau keyakinan.

"Kami akan berdepan tiga perlawanan penting."