Biarpun pasukan Petronas Yamaha Racing merupakan pasukan baru yang akan beraksi dalam kancah MotoGP musim depan, pihak pengurusannya mengambil langkah berani dengan meletakkan sasaran tinggi untuk mendapatkan kelompok lima terbaik.

Petronas Yamaha bukan sahaja membariskan pelumba ternama seperti Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo untuk bersaing dalam kelas utama MotoGP, namun turut mendapatkan kepakaran Wilco Zeelenberg dan Johan Stigefelt sebagai pengarah dan pengurus teknikal pasukan.

Ditambah perjanjian asal dengan pengeluar jentera, Yamaha, adalah untuk mendapatkan jentera spesifikasi yang pernah dikendalikan oleh juara dunia, Valentino Rossi dan Maverick Vinales.

Bersandarkan kepakaran dimiliki, sasaran untuk mendapatkan kedudukan kelima keseluruhan dianggap realistik.

Begitu juga harapan diletakkan untuk pasukan Petronas Sprinta Racing mendapatkan kelompok lima terbaik dalam tahun ketiga mereka dalam kancah Moto3.

"Segalanya akan dapat dilihat menerusi keputusan ketika perlumbaan sebenar dan kami perlu tunggu dan lihat," kata Morbidelli.

Manakala untuk satu-satunya pelumba tempatan, Khairul Idham Pawi, yang dipancing dari pasukan Honda Asia, pihak pengurusan memberi ruang untuknya dengan meletakkan sasaran minimum dengan cuba mendapatkan mata sebanyak mungkin bagi memperbaiki pencapaian musim lalu dalam kedudukan 30 keseluruhan.

"Ini tahun ketiga saya dalam saingan Moto2, saya akan terus berusaha meningkatkan mutu tunggangan," kata Khairul Idham.