Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) hari ini mengumumkan pemain tengah dari Serbia, Luka Milunovic, dan pertahanan dari Korea Selatan, Park Taesu, sebagai pemain import baru mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

Milunovic, 26, adalah bekas pemain bawah 21 tahun Serbia dengan kelab terakhirnya adalah Melaka United manakala Park, 29, sebelum ini beraksi bersama kelab Hwaseong FC di negara asalnya.

Pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, berkata dua pemain itu menandatangani kontrak selama setahun dengan Sabah dan mereka dijangka bakal membuat penampilan dalam aksi pertama Liga Perdana bertemu Johor Darul Ta'zim II (JDTII) di Stadium Likas, Sabtu ini.

Dengan kemasukan Milunovic dan Park, Sabah kini hanya perlu mencari seorang lagi pemain bagi melengkapkan kuota empat pemain import selepas penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, masih memiliki kontrak sehingga pertengahan musim baru ini.