Liga Bolasepak Malaysia (MFL) usah terburu-buru.

Saranan itu dilontarkan pemerhati sukan negara, Sadek Mustafa, berhubung hasrat pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu untuk mengadakan sistem kawalan ekonomi bagi mengatasi kes tunggakan gaji pasukan-pasukan tempatan.

MFL bercadang mengetengahkan langkah kawalan ekonomi berikutan pendedahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melaporkan kes tunggakan gaji Liga-M adalah yang tertinggi di Asia.

Sistem itu akan memastikan setiap pasukan membentangkan belanjawan mereka dengan penajaan yang sah setiap tahun untuk mendapatkan kelulusan MFL bagi perbelanjaan setiap musim, termasuk dalam menentukan peranan pemain import.

Cadangan itu mendapat reaksi baik daripada beberapa pasukan dan Sadek turut menyambut baik cadangan itu tetapi menggesa MFL lebih bersikap realistik.

"Kita boleh menggunakan format yang diamalkan di Sepanyol.

"Tetapi, MFL perlu membuat pemahaman yang sejelas-jelasnya (kepada setiap pasukan).

"Kita tidak mahu melihat situasi kelam-kabut seperti mana ketika pengenalan sistem pendaftaran dan pelesenan pemain sebelum ini apabila pasukan-pasukan Liga-M menyalahkan MFL.

"Ini kerana mereka mendakwa tiada maklumat jelas dan tiada hubungan dua hala di antara pasukan dan MFL," katanya.