Musim baru Liga Super 2024-25 akan membuka tirai bermula esok dengan perlawanan tumpuan saingan minggu pertama ini melibatkan Terengganu menentang Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.

Berdasarkan dua pertemuan musim lalu, Terengganu mengungguli kedua-duanya dengan keputusan 3-0, baik di tempat sendiri mahupun di tempat lawan.

Bagaimanapun, pertemuan kali ini pasti menyajikan kisah berbeza menjelang musim pertama Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih The Bos Gaurus secara sepenuh masa.

Di atas kertas, Terengganu jelas pasukan yang lebih baik dengan kedatangan deretan pemain baru berbanding musim lalu, antaranya Safawi Rasid, Nurillo Tukhtasinov, Matthew Steenvoorden, Marin Pilj, Akram Mahinan, selain beberapa pemain muda yang diserap ke pasukan utama seperti Syahmi Zamnri, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Azfar Fikri Azhar.

Namun, wajah berbeza Perak, yang kini diperkasakan dengan kehadiran pemain seperti Luka Milunovic, Jesper Nyholm, Adilet Kanybekov, Clayton, Ramadhan Hamid, Tommy Mawat Bada, Luiz Henrique Motta dan Haziq Nadzli, pasti menjanjikan saingan yang lebih menarik.

Anda boleh menyaksikan siaran langsung perlawanan tumpuan ini di Astro Arena Bola saluran 803 bermula dengan prarancangan pada jam 8.30 malam esok.