Pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) membawa misi "serampang dua mata" menjelang pertemuan dengan TNB Thunderbolts dalam Liga Hoki Malaysia (LHM), esok.

Mereka bukan sahaja mahu melebarkan rekod tanpa kalah, malah akan mencuba untuk merampas kedudukan teratas LHM.

UniKL, yang kini berada di tangga ketiga LHM, berkongsi mata 10 mata dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT), namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

LHM kini diungguli Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan 12 mata, namun UniKL dan THT masih mampu mengejar memandangkan kedua-dua pasukan itu mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Pengendali UniKL, Arul Selvaraj, mahu anak buahnya menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk mencari kemenangan ke atas pasukan di tangga tercorot, TNB Thunderbolts -- yang masih gagal meraih sebarang mata.

"Kesemua pasukan yang berdepan UniKL akan memberikan aksi terbaik mereka.

"Begitu juga dengan TNB Thunderbolts yang akan berdepan kami esok.

"Mereka tidak menghadapi sebarang tekanan selaku pasukan bukan pilihan.

"Saya sentiasa memperingatkan setiap pemain bahawa mereka perlu mementingkan kemenangan berbanding perkara-perkara lain.

"Jika segalanya berjalan lancar, kami pasti akan menjaringkan gol dan meraih kemenangan," katanya.

Bagaimanapun, berita kurang enak diterima kem UniKL apabila mereka terpaksa melupakan khidmat tonggak pertahanan, Sukri Mutalib, yang ditimpa kecederaan tangan.

"Kami kehilangan seorang pemain, iaitu Sukri Mutalib, yang mengalami keretakan pada tulang ibu jari.

"Bagaimanapun, ia bukan isu besar memandangkan dia dijangka dapat kembali beraksi minggu depan," tambahnya.