Jurulatih skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin, memilih Firhan Ashaari untuk menggalas tugas yang ditinggalkan Syed Syafiq Syed Cholan selepas pakar pukulan sudut penalti itu terlepas baki saingan Liga Hoki Malaysia musim ini ekoran keretakan pergelangan tangan.

Firhan dipilih selaku pakar pukulan sudut penalti utama TNB selepas ketiadaan Syed Syafiq.

Kali terakhir penyerang itu menggalas tugas berkenaan ialah ketika membantu Skuad Projek 2013 meraih tangga keempat Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India.

Namun, penyerang kebangsaan itu menerima cabaran tersebut dengan hati terbuka.

"Ia suatu perkara yang sukar untuk diputuskan.

"Saya perlu melakukan keputusan seperti yang dimahukan pemain-pemain lain.

"Jika keputusan itu terletak di tangan saya, ia akan menjadi lebih mudah.

"Ia agak sukar untuk dilakukan dan saya memerlukan masa untuk melakukannya dengan baik," kata Firhan.

Syed Syafiq dijadualkan untuk menjalani pembedahan tangan minggu depan untuk memastikan dia sempat pulih bagi menghadapi Kejohanan Final Siri Hoki Dunia, April depan yang juga kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketika ini, TNB mengumpul 15 mata di puncak Liga Hoki Malaysia (LHM) dan berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang berkelebihan satu perlawanan.

"Ia agak menyukarkan kerana kami tidak memiliki ramai pemain pertahanan senior.

"Hanya Faiz Helmi mempunyai pengalaman dan pemain lain pula adalah pemain muda.

"Kami memerlukan pertahanan berpengalaman untuk menghadapi perlawanan-perlawanan penting.

"Syed Syafiq sudah tidak dapat beraksi dan kami perlu mencari jalan untuk mengatasinya," kata Nor Saiful.