Kejohanan Olahraga Varsity Grand Final secara rasmi melabuhkan tirainya selepas tiga hari penganjuran yang sekaligus menjadi medan terakhir penutup kejohanan olahraga universiti 2024.

Pencapaian 11 rekod baharu kejohanan dan satu rekod kebangsaan yang berjaya dilakar menjadi petanda positif kepada perkembangan atlet sekiranya mereka berada dalam platform yang tepat.

Ketua Penyelaras VTF Grand Final 2024, Malik Tobias menyifatkan platform seperti ini mampu melahirkan ramai bakat baharu kerana mengambil kira lonjakan prestasi dipamer atlet yang menghuni ranking platinum.

"Sebenarnya kita fokus untuk mencungkil bakat baharu pelajar yang tidak berada di bawah program MSN kerana kejohanan ini adalah platform terbaik untuk pelajar IPT," katanya.

Sementara itu, bekas raja pecut Asia Tenggara 2003, Nazmizan Mohamad menganggap penganjuran kejohanan ini membolehkan atlet universiti sentiasa aktif melakukan latihan sepanjang tahun.

Ia sekaligus mampu meningkatkan lagi prestasi atlet bersaing yang membawa misi sama untuk menaikkan nama universiti masing-masing.

"Bagi saya dengan adanya VTF, atlet mampu berlatih secara berterusan dan ia penting untuk atlet.

"Atlet sendiri perlu sedar dengan tanggungjawab mereka untuk focus menaikkan nama universiti sendiri dan mereka akan berlatih dengan lebih konsisten untuk meningkatkan prestasi," tambahnya lagi.