Pengendali skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, meletakkan sasaran ke pentas final Kejohanan Futsal AFF 2019 di Vietnam dengan tarikh pertandingan itu akan diumumkan sedikit masa lagi.

Bagi merealisasikan impian itu, Chun Yong sedang menilai 20 pemain terbaik untuk menggalas cabaran negara musim ini.

Liga Futsal Profesional yang dianjurkan April depan bakal menjadi medan untuknya mengintai pemain sebelum membuat persiapan lengkap dalam mencapai sasaran yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, Chun Yong mendedahkan perancangannya untuk menyertai saingan empat penjuru anjuran Persatuan Bolasepak China, September depan.

"Kalau boleh, saya mahu mengenal pasti kemampuan hampir 10 muka baru yang akan diturunkan kelak untuk saya membariskan skuad terbaik negara sebelum sepak mula Kejohanan Futsal AFF," katanya.

Sementara itu, Chun Yong turut mengakui akan menggunakan beberapa taktikal baru dalam usaha memberikan cabaran hebat di Vietnam nanti.

"Walaupun berdepan cabaran lebih besar kali ini, kami tetap menyasarkan untuk layak ke final.

"Sungguhpun tidak dilabel sebagai pasukan pilihan, setiap tahun kami tetap meletakkan sasaran untuk ke final.

"Sekurang-kurangnya kami ada misi untuk diusahakan, namun peringkat separuh akhir bukan pilihan kami," katanya.