"Tidak kenal maka tidak cinta."

Perumpaan itu paling sesuai menggambarkan tanggapan pertama kem beregu wanita mengenai ketua jurulatih baru, Chan Chong Ming.


"Memang dia seorang yang garang. Kadang-kala dia bergurau dengan kami tetapi dia tak ketawa.

"Kami juga tidak tahu apa yang dia hendak." kata pemain beregu wanita negara, Lee Meng Yean, kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz, semalam.

Chow Mei Kuan, yang merupakan pasangan kepada Meng Yean, turut meluahkan rasa sama apabila melihat Chong Ming sebagai seorang yang garang.

"Sehingga Ahad lalu, kami hanya nampak dia sekali sahaja sewaktu kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM)," katanya.

Bagaimanapun, pasangan itu menerima dengan hati terbuka kehadiran jurulatih baru tersebut walaupun Chong Ming disifatkan segelintir pihak sebagai tidak layak mengisi jawatan tersebut.

Namun, kedua-dua pihak akur mereka masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan masing-masing.

"Dia masih baru dan perlu pantau kami semua. Masih belum mengenali perwatakan kami.

"Hari pertama dia masuk, dia sudah mengajar kami teknik baru dan apa yang perlu kami perbaiki." tambah Meng Yean.

Mei Kuan menambah: "Dia baru hari pertama dan masih lagi nak memantau kami dalam tempoh satu hingga dua minggu ini supaya dia tahu apa yang hendak dibuat."