Apabila Manchester United melantik Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali sementara bulan lalu, tiada siapa yang menjangka beliau dapat mengubah nasib kelab itu dengan sekelip mata.

Lapan perlawanan sejak mengambil alih kerusi panas yang disandang oleh Jose Mourinho sebelum ini, pengendali kelahiran Norway itu memiliki rekod yang sempurna.

Sentuhan Solskjaer bagaikan menghembus semula nafsu bintang-bintang United untuk kembali mengejar kelompok empat pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris sementara melangkah ke pusingan kelima Piala FA.

Persoalannya, adakah Solskjaer bakal diberikan peluang mengemudi The Red Devils secara tetap?

Ketika pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, terus dikaitkan dengan kelab itu, tempoh 32 hari yang mendatang bakal menentukan peluang Solskjaer untuk mengambil alih salah sebuah kelab terbesar dunia itu.

Sepanjang lima minggu, United bakal diuji berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dua kali dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) sementara bertemu Chelsea dalam Piala FA manakala pertembungan EPL berdepan Liverpool, Arsenal dan Manchester City.

Jadual perlawanan Manchester United:

13 Februari: United lwn PSG (Pusingan 16 UCL)

17 Februari: Chelsea lwn United (Pusingan kelima Piala FA)

25 Februari: United lwn Liverpool (EPL)

28 Februari: Crystal Palace lwn United (EPL)

3 Mac: United lwn Southampton (EPL)

7 Mac: PSG lwn United (Pusingan 16 UCL)

10 Mac: Arsenal lwn United (EPL)

17 Mac: United lwn Manchester City (EPL)

“Berada dalam kelompok empat pasukan teratas bukan impian kami," kata Solskjaer.

"Sebagai pemain United, anda harus sasarkan menjuarai EPL. Kami tidak mampu melakukannya tahun ini tetapi kami bersaing dalam pertandingan lain seperti UCL dan Piala FA.

“Kami perlu memenangi sesuatu tahun ini. Seperti apa yang katakan sebelum ini, saya sentiasa hadir ke dalam perlawanan dengan satu tujuan, memenanginya," kata Solskjaer dalam sidang media menjelang aksi bertemu Burnley.

Keazaman serta semangat dimiliki Solskjaer meningkatkan harapan buat setiap penyokong United, namun ujian sebenar bakal datang bertalu-talu buat mereka. Secara realistiknya, peluang United menjulang sebarang gelaran mampu lebur dalam empat hari sepanjang jadual padat mereka.

Jika skuad bimbingan Solskjaer diatasi oleh gergasi Perancis pada 13 Februari, peluang melakar kejayaan dalam UCL dijangka berakhir. Kemudian pada 17 Februari, Chelsea menjadi halangan United dalam pusingan kelima Piala FA dan jika gagal mengatasi mereka, maka mereka sudah boleh melupakan hasrat untuk mengakhiri musim 2018-19 dengan sebarang gelaran.

Bagaimanapun, kebangkitan The Red Devils dan keputusan positif mampu menjadi pemangkin memastikan Solskjaer menerima tawaran jangka masa panjang bersama kelab.

Selepas apa yang diharungi pasukan ketika dikendalikan Mourinho, United kini hanya ketinggalan tiga mata daripada kedudukan empat terbaik EPL dan jika tuah masih lagi memihak Solskjaer dalam tempoh 32 hari itu, beliau berkemungkinan besar kekal lama bersama The Red Devils.