Isu sukan negara kini ibarat kesedihan secara berturut turut. Kekalahan skuad Badminton Malaysia dalam Piala Thomas 2024, di tambah pula lagi dengan isu jenayah yang berlaku kepada Pemain Kebangsaan Negara.

Berita ini, seakan akan memberi isyarat jelas bahawa Sukan adalah penting dalam negara kita. Jika tidak bagaimana jenayah kelas tinggi seperti ini boleh berlaku kepada atlet negara kita.

Ini sudah pasti menjadi tanda tanya kepada Masyarakat Malaysia, bagaimana jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini juga boleh berlaku kepada pemain negara kita. Biasa kita akan hanya dengar berita sebegini di luar negara Sahaja seperti pemain bolasepak Columbia iaitu Andreas Escobar di tembak mati, ancaman bunuh kepada pemain ragbi afrika Selatan iaitu Cobus Reinach dan lain lain. Kejadian yang berlaku ini perlu menjadi iktibar buat kita semua tentang betapa penting program kesedaran pencegahan jenayah dan anti buli di Malaysia.

Kursus kesedaran pencegahan jenayah dan anti buli adalah langkah yang penting untuk di laksanakan kepada warga sukan Malaysia terutama atlet kebangsaan kerana mereka adalah aset Negara, terutamanya selepas kejadian yang menimpa kepada 2 atlet bolasepak Negara kita iaitu Akhyar Rashid dan Faisal Halim. Kursus pencegahan jenayah dan anti buli ini memberikan peluang kepada warga sukan untuk memahami dan mengenal pasti risiko jenayah dan buli yang mungkin mereka hadapi di dalam dan di luar arena sukan.

Siapa sangka pada zaman ini, ia boleh terjadi kepada pemain negara kita. Ia adalah satu berita yang menyedihkan buat kita semua kerana Negara masih berada dalam krisis kejayaan sukan dan giat melaksanakan pencarian peganti lagenda Atlet Negara, akan tetapi salah laku jenayah seperti membaling asid dan memukul ini ibarat Sukan kita sudah berada di tahap paras kejayaan yang tinggi. Walaubagaimanapun rakyat Malaysia perlu bersatu hati agar isu jenayah ini tidak berlarutan kepada mangsa ketiga.

Ekoran kejadian yang berlaku, sudah tiba masanya, Atlet Negara kita di ajar tentang langkah-langkah praktikal untuk melindungi diri sendiri dan juga cara untuk mengenali tanda-tanda awal situasi berisiko seperti kelas pertahanan diri untuk mengelakan di pukul dan di teranjang, kelas media sosial & digital di mana status update mereka akan sentiasa di ekori dan di ketahui penjenayah, kelas anti rasuah agar tidak mudah terjebak dengan gejala bookie dan pelbagai lagi.

Situasi yang berlaku adalah seperti ibarat meminjam wang kepada ahlong, akibat nya bunga yang tinggi dan sentiasa di ganggu dalam kehidupan, jadi adalah lebih baik tidak meminjam langsung duit kepada ahlong. Kod Sukan Selamat telah pun di aktifkan oleh KBS. Ia merupakan garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan serta penderaan dalam sukan. Kod Sukan Selamat kini juga perlu memberi tumpuan kepada isu baru seperti ini iaitu pencegahan jenayah, pencegahan rasuah dan sebagainya.

Selain itu, penerapan pengetahuan undang-undang anti-jenayah dan anti-buli kepada individu terkenal seperti Atlet Negara juga mempunyai kelebihan yang signifikan dalam membentuk masyarakat yang adil dan selamat. Ini kerana pengaruh positif mereka di kalangan masyarakat boleh memperkuatkan kesedaran terhadap nilai-nilai positif dan komitmen terhadap undang-undang, membawa kepada pengikut mereka untuk mengikuti teladan yang sama. tindakan ini menegaskan prinsip keadilan dan kesamarataan, menunjukkan bahawa tiada siapa di atas undang-undang dan setiap individu bertanggungjawab atas tindakan mereka, bebas dari kedudukan sosial atau populariti mereka.

Kesimpulannya, walaupun populariti atau status sosial seseorang mungkin memberikan akses kepada perhatian yang lebih besar, ia tidak sepatutnya mereka di layan sebegitu rupa. Kejadian di rompak dan di baling asid adalah satu tindakan jenayah berat, mereka juga adalah manusia biasa seperti kita semua. Dalam masyarakat yang adil, undang-undang perlu ditegakkan tanpa kecuali, memastikan perlindungan dan keadilan untuk semua. Keterlibatan aktif dalam program pencegahan jenayah tempatan dan kerjasama dengan pihak berkuasa juga merupakan langkah penting dalam membangun komuniti yang selamat dan saling membantu. Rakyat perlu sama sama bangkit, menentang isu jenayah dan korupsi yang berlaku dalam negara kita demi kesejahteraan sejagat. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka, kerana Tuhan Untuk Manusia.

Disediakan oleh,
Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM