Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia dalam Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Ia susulan pendirian Kerajaan Malaysia mengumumkan atlet Israel tidak dibenarkan untuk menyertai kejohanan itu.

Kira-kira 600 perenang dari 60 negara akan bertanding dalam kejohanan yang menawarkan 160 gelaran dunia itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Presiden IPC, Andrew Parsons, berkata: "Setiap Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada setiap atlet yang layak dan setiap negara bebas bertanding tanpa sebarang diskriminasi.

"Apabila negara penganjur meminggirkan atlet dari negara tertentu atas tujuan politik, kami tiada pilihan lain selain mencari pihak penganjur baru.

"Gerakan paralimpik sentiasa bermotivasikan keinginan kepada penyatuan dan bukannya perpecahan.

"Tidak kira mana-mana negara yang terlibat dalam perkara seperti ini, IPC akan mengambil keputusan yang sama sekali lagi andai perkara tersebut masih berulang," katanya.

Parsons turut mendedahkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pernah memberikan jaminan bahawa kesemua atlet dan negara yang layak akan dibenarkan untuk bertanding dengan jaminan keselamatan sewaktu mereka menandatangani kontrak pada September 2017.

"Sejak itu, terdapat perubahan kepimpinan politik dan Kerajaan Malaysia yang baru mempunyai idea yang berbeza.

"Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa kerana atlet dari Israel tidak dibenarkan untuk bersaing di Malaysia," katanya.

Tuan rumah baru, bagaimanapun, masih belum diputuskan.

Dalam reaksi serta-mertanya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Malaysia tetap dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan di Kuching itu.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat atas dasar kemanusiaan dan belas ihsan terhadap nasib rakyat Palestin.

"Kami tidak akan berkompromi," kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp kepada media dalam menjawab keputusan IPC itu membatalkan hak penganjuran Malaysia.

"Jika penganjuran suatu acara sukan antarabangsa lebih penting daripada mempertahankan hak rakyat Palestin yang dibunuh, dicacatkan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah kehilangan arah moralnya.

“Kami ingin mengingatkan kepada IPC yang ‘Amnesty International dan Human Rights Watch’ sendiri telah melaporkan bahawa kerajaan Netanyahu sebagai pelaku jenayah perang.

“Sebagai pemimpin Israel, beliau melambangkan tekad bersama kerajaan Israel. Negara itu bertanggungjawab sepenuhnya atas keseluruhan tindakan moral mereka,” kata Syed Saddiq lagi.