Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, perlu mengemukakan dokumen yang dimohon oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) secepat mungkin bagi membolehkan badan induk itu memutuskan pembiayaan dana untuk atlet berkenaan.

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, atlet berusia 23 tahun itu, yang berlepas ke Prague, Republik Czech malam tadi atas tajaan sendiri, perlu mengemukakan kertas cadangan yang lebih terperinci bagi membolehkan KOM berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai pembiayaan.

“Sekiranya dia memerlukan dana, dia harus bertindak segera dengan mengemukakan kesemua dokumen yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah meminta altet tersebut mengemukakan surat daripada Persekutuan Olahraga Republik Czech bagi pengesahan status jurlatih barunya, Imrich Bugar, serta pelan penjangkalaan sehingga Kejohanan Dunia di Doha, Qatar, September depan, Kejohanan Asia di Doha (April) dan Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Naples, Itali, Julai depan.

Di samping itu, katanya, atlet tersebut juga perlu mengemukakan sasaran yang dicadangkan untuk Kejohanan Asia, iaitu lebih 62 meter dan lebih 64m untuk Universiade.

”Sebaik sahaja kami menerimanya, baru kami boleh bincang dengan MSN sama ada kita boleh meluluskan dana atau sebaliknya,” katanya.

Karim berkata pemenang pingat perak Kejohanan Asia itu juga dikehendaki mengemukakan sasaran untuk Kejohanan Austria dan Kejohanan Melempar Cakera Lativia, kedua-duanya pada Mac ini.

Mengenai tindakan berlepas ke Prague untuk sesi latihan tanpa kelulusan KOM dan MSN, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis KOM bulan depan.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Irfan, pemenang emas Sukan SEA 2017, memerlukan lebih RM100,000 untuk menjalani latihan selama 85 hari di Eropah, termasuk bayaran RM27,500 untuk jurulatihnya.

-- BERNAMA