Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, menjelaskan gaya sepakan penalti ala "Panenka" yang dilakukannya ketika menewaskan Girona merupakan caranya untuk menunjukkan kemahiran individu yang dimiliki.

Ramos menjaringkan dua gol, termasuk sepakan penalti yang tenang disudahkannya ketika Madrid menewaskan Girona 4-2 dalam suku akhir pertama Copa del Rey, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu meletakkan Madrid mendahului 2-1 dalam babak pertama selepas tenang menewaskan Gorka Irairoz menerusi gaya sepakan penalti ala "Panenka" sebelum menjaringkan gol kedua pada minit ke-77.

Ketika ditemui selepas perlawanan, Ramos, yang menjaringkan ketujuh-tujuh sepakan penalti yang diambilnya musim ini berkata: "Mengambil sepakan penalti dengan gaya seperti itu adalah cara saya untuk menunjukkan kemahiran individu yang dimiliki.

"Saya amat selesa untuk melakukannya.

"Sepakan penalti sentiasa tiba dan saya tidak boleh membiasakan diri untuk mengambilnya seperti itu.

"Saya perlu berhati-hati untuk mencari sudut yang sesuai," katanya.

Lucas Vazquez dan Karim Benzema turut tersenarai sebagai penjaring dalam perlawanan di Santiago Bernabeu itu dengan Madrid membawa kelebihan dua gol menjelang aksi kedua minggu depan.

"Perlawanan ini masih lagi terbuka.

"Kami cuba beraksi baik dan tidak mahu dibolosi.

"Keputusan itu membuktikan tiada pasukan mudah dalam kejohanan ini.

"Mereka kerap mengancam kami menerusi dua penyerang berbisa di bahagian depan.

"Namun, kami berjaya mengawalnya untuk kembali mendahului.

"Saya berharap kami dapat mengekalkan prestasi seperti itu dan memperoleh keputusan yang positif," tambahnya.