Biarpun terpaksa menempuhi perjalanan dari Bangkok ke Korat selama lima jam, skuad futsal negara mengakui aura positif Gelanggang Terminal 21 Korat yang juga merupakan venue futsal Piala Dunia 2012.

Menjelang perlawanan pembukaan Kejohanan Futsal ASEAN Ahad ini, penolong jurulatih kebangsaan, Addie Azwan Zainal, menegaskan bahawa pertemuan dengan Brunei akan menjadi cerminan jelas sama ada skuad negara bersedia atau sebaliknya untuk memastikan kejayaan kempen kali ini.

"Kami tidak memandang rendah terhadap Brunei tetapi pasukan manakah yang mampu mengawal permainan di samping sudah bersedia sepenuhnya tidak menjadi masalah untuk memperoleh kemenangan.




"Aksi pertama sangat penting untuk kami kerana menjadi pemangkin pada perlawanan kedua menentang Vietnam," katanya.

Skuad negara mengharungi dua perlawanan persahabatan di Bangkok tanpa ada sebarang kecederaan.

Perlawanan kedua negara membabitkan Vietnam dianggap sebagai ujian sebenar berdasarkan kemampuan Malaysia melakar kejutan melalui perkiraan 50-50.

"Saya anggap pasukan saya bertemu Vietnam seperti 50-50. Kami tahu kekuatan mereka dan mereka juga memahiri kelebihan kami," tambahnya.