Pihak pengurusan Forca Amskins Racing sedang mengadakan rundingan dengan dua penaja bagi menyelamatkan pasukan itu untuk bertanding dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) 2019.

Pasukan tersebut sedang berjuang untuk meneruskan tunggangan berikutan dihimpit masalah kewangan sehingga mendorong beberapa pelumba meninggalkan pasukan, termasuk Amir Mustafa Rosli yang mengumumkan persaraan beberapa hari lalu.

Rundingan dengan beberapa penaja berpotensi sedang giat dijalankan bagi mengumpul dana berjumlah RM1.5 juta untuk memastikan Forca Amskins Racing dapat beraksi dalam kancah benua Asia.

Tumpuan utama mereka terarah kepada usaha mengatasi kemelut kewangan dalam tempoh dua minggu ini untuk membolehkan mereka beraksi dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, 4 Mac depan.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah mengesahkan Forca Amskins Racing tidak akan bertanding, namun sekiranya rundingan penajaan berjalan lancar, ia boleh membuka pintu kepada PKBM untuk menyenaraikan mereka buat kali kedua.