Pengurus Forca Amskins Racing (FAR), Mohd Faiz Syarifuddin, memohon Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mempertimbangkan rayuan menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 jika mereka berjaya mendapatkan penaja dalam tempoh dua minggu lagi.

FAR masih mengadakan perbincangan dengan penaja untuk menghadapi musim 2019.

Persoalannya, masa terlalu suntuk hingga PKBM tidak mencadangkan pasukan bertaraf benua itu menyertai LTdL bermula 24 Mac depan.

Ia tamparan hebat buat FAR selepas Alvaro Duarte menyarung jersi polka dot raja bukit sementara Nik Azwan Zulkifli jersi putih terbaik Asia dalam LTdL tahun lalu.

"Kami akan cuba berhubung dengan PKBM mengenai rayuan untuk beraksi dalam LTdL. Saingan ini adalah penting buat kami dan berharap kelonggaran dapat diberikan untuk kami menyertai edisi kali ini," kata Faiz.

Kesuntukan masa menyaksikan PKBM mencadangkan hanya tiga wakil Malaysia menyertai LTdL 2019, iaitu Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC) dan skuad kebangsaan.