Minggu hitam yang cukup memberi kesan kepada rakyat Malaysia apabila dua tonggak utama Harimau Malaya iaitu Akhyar Rashid dan Faisal Halim dianiaya oleh individu tidak dikenali pada minggu yang sama iaitu Khamis dan Ahad.

Masih dalam kejutan lagi dengan insiden menimpa Akhyar dan Faisal, rakyat Malaysia turut dikejutkan lagi apabila bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim menjadi mangsa seterusnya apabila cermin kereta miliknya dipecahkan menggunakan tukul besi berhampiran dengan pusat latihan Johor Daril Ta'zim (JDT) pada malam Selasa.

Safiq yang memberitahu kejadian itu menerusi akaun 'Instagram'nya telah mendapat perhatian ramai. Kejadian yang berlaku seminggu berturut turut ini akan menjadi mimpi ngeri buat pemain bola sepak yang lain di mana mereka turut berasa terancam.

Kejadian jenayah yang membabitkan pemain bola sepak Malaysia itu bukan perkara baru malah ia sudah berlaku pada tahun sebelumnya yang melibatkan beberapa atlet bola sepak tanah air seperti Zaquan Adha Abd. Radzak.

Pada 12 Mac 2015, rumah bekas kapten Pahang, Mohd Razman Roslan ditembak lebih daripada sekali oleh individu tidak dikenali sehingga menyebabkan cermin kereta milik bapa mentuanya pecah.

18 April 2016, merupakan tarikh hitam buat pemain bola sepak Pulau Pinang bawah 19 tahun, yang diugut untuk ditikam dengan pisau oleh empat lelaki dan sudah semestinya menjadikan pemain tersebut trauma.

Diikuti dengan bekas pemain kebangsaan, Mohd Zaquan Adha di mana kediamannya dipecah masuk oleh tiga lelaki dan beliau terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM200,000 dan insiden itu juga berlaku pada April 2016.

Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kepada atlet bola sepak malah mana-mana manusia sekalipun. Harap tragedi hitam ini tidak menimpa mana mana atlet lagi.

Keenam-enam atlet bola sepak ini sudah semestinya mengalami trauma dan keresahan untuk menjalani kehidupan harian ataupun menjadi satu kenangan pahit yang terpahat di ingatan mereka.

Antara enam atlet bola sepak yang terlibat dalam insiden ini, Faisal Halim merupakan atlet yang paling terkesan kerana individu yang melakukan perkara tidak bermoral kepada Faisal ibarat menutup periuk nasi beliau dimana Faisal atau mesra dipanggil Mickey itu terpaksa untuk melupakan dunia bolanya buat seketika.

Sumber: Astro Gempak