Laurent Koscielny akan menjalani pemeriksaan kesihatan kerana disyaki mengalami patah rahang dalam kekalahan 1-3 Arsenal dalam aksi Piala FA kepada Manchester United, demikian Unai Emery mengesahkan.

Pertahanan Perancis itu terkena but Romelu Lukaku dan terpaksa digantikan oleh Matteo Guendouzi dalam aksi di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Ia satu lagi tamparan hebat buat Emery, yang kehilangan Sokratis Papastathopoulos ekoran masalah pergelangan kaki dalam babak pertama sementara Hector Bellerin dan Rob Holding sudah pasti tersisih untuk baki musim ini.

Bercakap mengenai perkembangan Koscielny dan Sokratis dalam sidang berita pasca perlawanan, Emery berkata: "Saya berasakan Sokratis tidak mengalami kecederaan buruk.

"Laurent Koscielny akan ke hospital untuk menganalisis tahap kecederaannya, mungkin dia mengalami kepatahan (pipinya atau rahang) tetapi saya tidak berharap begitu."

Arsenal berdepan tugas sukar selepas United meledak gol pantas menerusi bekas pemain The Gunners, Alexis Sanchez, dan Jesse Lingard. Meskipun Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan jurang sebelum separuh masa pertama berakhir, Anthony Martial meletakkan The Red Devils di landasan tepat untuk ke pusingan lima.

United khususnya cemerlang dalam serangan balas dan Emery memberi reaksi ketika ditanya sama ada bentengnya perlu diperbaiki.

"Ya, tetapi pada hari ini adalah contohnya kerana kami berusaha untuk menyekat serangan balas mereka," tambahnya.

"Mereka hebat untuk melakukan peralihan berkenaan dan mereka mencetuskan masalah dengannya. Kemudian kami beraksi dengan baik. Gol kedua mereka terhasil melalui serangan balas, namun jaringan pertama yang kami bolosi disebabkan kesilapan kedudukan pemain saya.

"Dalam babak kedua, kami mengambil risiko dan itulah yang kami perlu lakukan. Kemudian mereka menjaringkan gol ketiga. Kami perlu memperbaiki persembahan kami.

"Saya fikir ketika aksi menentang West Ham dan Chelsea, kami menyerang dan bertahan dengan baik. Hari ini lebih sukar untuk mengekang serangan mereka.

"Kami perlu meningkatkan aspek serangan kerana kami mahu mula mencatat kemenangan. Saya mahu mendapatkan keseimbangan dalam permainan.

"Saya berasakan kami sering menjelmakannya tetapi mereka mempunyai pemain hebat dengan kualiti yang hebat untuk membuat perbezaan."

Khidmat Mesut Ozil sekali lagi digunakan hanya dari bangku simpanan, begitupun Emery tidak berminat untuk membincangkan sebab-sebab tidak menurunkan pengatur serangan itu dalam kesebelasan utama sepanjang musim ini.

"Dia diturunkan, saya juga boleh menggunakan pemain lain," katanya.