Bintang muda Belanda, Frenkie De Jong, akhirnya melengkapkan perpindahan bernilai EUR86 juta (RM401 juta) ke Barcelona daripada Ajax, sekali gus membuatkan Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) menggigit jari dalam hasrat mendapatkan khidmatnya.

Baru berusia 21 tahun, kelibat De Jong, yang mencuri perhatian sejak hampir tiga tahun lalu, akhirnya membuat satu keputusan paling besar dalam karier sehingga namanya mula dikaitkan dengan legenda Belanda, Johan Cruyff.

Jika dalam artikel sebelum ini, segala kisah di sebalik perpindahan De Jong ke Camp Nou telah diceritakan, mungkin corak permainannya perlu didedahkan buat semua peminat bola sepak, terutama peminat Barca yang masih belum mengenalinya.



Anak muda kelahiran Arkel, Belanda itu memulakan kariernya bersama kelab Willem II sebelum berhijrah ke Ajax ketika musim panas tahun 2015.

Tidak menunggu lama, penampilan cemerlang bersama skuad simpanan, Jong Ajax, dalam musim kedua di Arena Johan Cruyff menyaksikan dia dinobatkan selaku pemain paling berbakat Liga Eerste Divisie (Liga Divisyen 2 Belanda) serta membantu pasukan senior yang dibimbing Peter Bosz ketika itu mara ke final Liga Europa sebelum tewas 2-0 di tangan Manchester United.

Sejak itu, dia mula menjadi mesin buat Ajax. Memiliki kelebihan kaki kanan yang baik, dia juga bagus dalam situasi lawan satu. Kebolehan semulajadi serta visi yang tajam di atas padang memberikan kesempatan buatnya untuk beraksi di beberapa posisi.

Dia pernah bertindak selaku perancang tengah dalam formasi 4-3-3, menjadi salah seorang daripada bek tengah untuk percaturan 3-4-3 dan 4-3-3 serta mampu memainkan peranan menyerang dan bertahan di tengah padang untuk pendekatan 3-4-3.



Justeru, kehadirannya memperkuatkan Barca bermula musim depan semestinya menawarkan sesuatu yang berbeza dalam skuad kendalian Ernesto Valverde itu.

Selain kreativiti, De Jong memiliki sedikit persamaan dengan tonggak tengah Barca ketika ini, Arthur. Kedua-duanya berupaya mengawal tempo permainan, mencipta gerakan pasukan serta mengekang percaturan lawan. Lebih ampuh, kedua-dua pemain ini juga mempunyai kekuatan badan dan kepantasan larian bersama bola.

Situasi itu sudah tentu memberikan lebih kebebasan buat Sergio Busquets untuk lebih mudah mengawasi bahagian tengah bertahan. Dalam erti kata lain, kehadiran De Jong dilihat berupaya membuatkan 'kerja' Busquets dan Arthur lebih mudah.



Ternyata langkah Barca memulakan pembinaan semula skuad boleh diklasifikasikan sebagai percaturan bijak dengan membawa masuk De Jong memandangkan Ivan Rakitic bakal memasuki usia 30 tahun Mac nanti.

Clément Lenglet, De Jong, Arthur dan Malcolm masing-masing belum melebihi umur 22 tahun. Ditambah dengan Philippe Coutinho (26), Samuel Umtiti (25) dan Marc-André ter Stegen (26) yang menuju usia kemuncak pemain bola sepak, sudah tentu ia memperlihatkan masa depan Barcelona yang tampak cerah, sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang.