REAL MADRID 4 GIRONA 2

Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, menjaringkan dua gol ketika pasukannya menewaskan Girona 4-2 dalam suku akhir pertama Copa del Rey di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.


Anthony Lozano memberikan pendahuluan awal buat Girona, namun Madrid bangkit menerusi jaringan penyamaan Lucas Vazquez sebelum Ramos menyempurnakan sepakan penalti sebelum ke bilik persalinan.

Sepakan penalti kedua perlawanan memberikan jaringan penyamaan kepada Girona.

Alex Granell melengkapkan jaringan itu selepas Marcos Llorente menahan bola menggunakan tangan.

Bagaimanapun, Ramos dan Karim Benzema meledak pada penghujung aksi untuk memberikan kelebihan dua gol buat tuan rumah.

Kapten Madrid itu melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Marcelo sebelum Benzema menggoncang keyakinan lawan menerusi jaringan yang berpunca daripada hantaran Vinicius Junior.

Trio serangan Madrid bermula garang pada awal permainan, namun Girona terlebih dahulu di depan menerusi percubaan pertama pada minit ketujuh selepas Raul Garcia gagal menghadang hantaran lintang yang kemudian dirembat masuk Lozano.

Tuan rumah kemudian menyamakan kedudukan selepas Benzema membuka ruang untuk Alvaro Odriozola melakukan hantaran yang kemudian ditolak masuk Vazquez.

Madrid mengemudi perlawanan pada minit ke-42 menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan Lozano akibat menjatuhkan Vinicius.

Ramos menewaskan Gorka Iraizoz menerusi gaya sepakan ala "Panenka" untuk skuad Los Blancos itu mengemudi perlawanan menuju waktu rehat.

Girona kemudian memperoleh peluang sama dalam separuh masa kedua selepas bola terkena tangan Llorente.

Granell memaparkan keyakinan tinggi untuk kembali mengikat kedudukan buat pelawat pada minit ke-66.

Vinicius menjadi penggerak kepada kebangkitan kedua Madrid.

Dia membuka ruang di sebelah kiri padang untuk membolehkan Marcelo melakukan hantaran lintang yang kemudian ditanduk masuk Ramos pada minit ke-77.

Pemain gantian, Isco, melakukan lorongan kepada Vinicius yang kemudian melakukan hantaran rendah yang dirembat masuk Benzema untuk skuad kendalian Santiago Solari itu membawa kelebihan dua gol menjelang perhitungan kedua, minggu depan.