LAZIO 1 JUVENTUS 2

Giorgio Chiellini mengakui tempoh sejam corak permainan Juventus ketika menentang Lazio adalah aksi terburuk mereka musim ini sambil menjulang ketangkasan penjaga gol, Wojciech Szczesny, untuk memastikan mereka dapat terus berjuang mencipta kemenangan.


Szczesny beraksi cemerlang dengan lima tindakan menyelamat untuk Juve mengatasi persembahan buruk dengan kemenangan 2-1 awal pagi tadi, seterusnya mengukuhkan kedudukan mereka di puncak Serie A dengan jurang 11 mata ke atas Napoli.

Pelawat bangkit untuk meledak dua gol dalam tempoh 16 minit terakhir. Pemain gantian, Joao Cancelo, merakamkan gol sulungnya untuk kelabnya sebelum memenangi penalti yang disempurnakan oleh Cristiano Ronaldo, dua minit menuju waktu kecederaan.

Terlebih dahulu, Emre Can menjaringkan gol sendiri dan Juve kelihatan di ambang kekalahan pertama liga musim ini, namun ketangkasan Szczesny yang menafikan percubaan menarik Marco Parolo dalam babak pertama, menghidupkan peluang mereka untuk bangkit.

"Selama 55 hingga 60 minit permainan, ia sudah pasti merupakan prestasi terburuk Juventus musim ini," kata Chiellini kepada Sky Sport Italia.

"Wojciech Szczesny mencetuskan peluang kami sepanjang sejam permainan. Kemudian, kami bangkit untuk memenangi perlawanan. Keadaan ini mematangkan kami kerana kami mempunyai satu lagi kejohanan penting dengan Atalanta dalam Coppa Italia, Khamis ini."

Pengurus, Massmiliano Allegri, yang menyenaraikan Szczesny ketika membuat tiga rombakan dalam skuadnya, bersetuju dengan pandangan ketua pasukannya, Chiellini, yang dimasukkan sebelum babak pertama berakhir bagi menggantikan Leonardo Bonucci yang tercedera.

Allegri menambah: "Szczesny beraksi cukup baik tetapi kami sudah tahu dia adalah penjaga gawang yang hebat. Saya fikir perkara paling mustahak yang dilakukannya adalah mengenai tahap fokus dan keyakinannya selama 90 minit.

"Buku lali Leonardo Bonucci membengkak, jadi kami akan melihat sejauh mana kecederaannya. Namun, Martin Caceres baru menyertai kami sementara Miralem Pjanic dijangka akan kembali pertengahan minggu ini.

"Kami tahu betap pentingnya untuk menang selepas Napoli seri dengan Milan. Saya berpesan kepada pemain bahawa kemenangan akan menjadi satu langkah yang besar walaupun kami gagal beraksi dengan baik."

Jaringan sendiri Can antara sebahagian daripada aksi mengecewakan bekas pemain tengah Liverpool itu, sebaliknya Allegri menyalahkan dirinya sendiri.

Dia berkata: "Saya yang bertanggungjawab kerana saya cuba meletakkan Emre Can di hadapan pertahanan dan itu adalah kesilapan. Dia belum bersedia untuk itu, jadi saya telah meletakkannya dalam kedudukan yang sangat sukar. Sebaik saya meletakkan (Rodrigo) Bentancur di posisi itu, kami bertambah baik.

"Kami tidak beraksi dengan baik dalam tempoh sejam pertama tetapi dalam baki perlawanan, kami melakukannya dengan lebih baik. Ketika waktu rehat, saya memberitahu pemain supaya memperkemaskan hantaran, mengurangkan kesilapan hantaran.

"Kemasukkan (Federico) Bernardeschi dan Cancelo menjadikan permainan kami lebih teratur. Mereka yang masuk dari bangku simpanan memainkan peranan penting.

"Permainan Lazio mencetuskan masalah kepada kami, terutama kerana hantaran kami sendiri. Kami berasa seperti mewakili jersi yang berbeza dalam babak pertama.

"Ini adalah perlawanan yang sukar tetapi saya telah berada di Juventus selama lima tahun dan tidak pernah berdepan laluan mudah ketika berdepan Lazio di Stadium Olimpico, jadi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan."