EPL

Chelsea terus timbulkan persoalan besar

Stadium Astro
Asmawi Bakiri
23/07/2023
06:23 MYT
Sponsor Banner
Chelsea terus timbulkan persoalan besar
Dahulunya digelar calon juara, Chelsea kini sekadar sebuah kelab yang masih tercari-cari arah tujuan untuk bermula kembali. 
Kehadiran pemilik baru pada musim lalu, jutawan dari Amerika Syarikat, Todd Boehly, pada awalnya mendatangkan kegirangan kerana individu itu datang dengan kesediaan untuk berbelanja seakan-akan dunia bola sepak hanyalah satu permainan baginya. 
Bayangkan, Enzo Fernandez, pemain yang dibeli dengan nilai €121 juta (RM614 juta) atas dasar dia seorang bakat berusia 22 tahun yang berpotensi besar, manakala €70 juta (RM355 juta) dibelanjakan buat seorang lagi pemain yang sama usianya, Mykhailo Mudryk. 
Dua belas pemain baru lain dibawa masuk, antaranya pemain pertahanan veteran, Kalidou Koulibaly, dengan harapan agar Chelsea dapat dibentuk semula dengan nafas baru bagi bersaing dengan kelab-kelab terkemuka di England serta di Eropah. 
Malang sekali, gara-gara kegagalan untuk mengendalikan sebegitu ramai pemain serentak dan memastikan kesemuanya mampu untuk bekerjasama dengan baik, hanya kekalahan demi kekalahan menyusul. 
Chelsea mengakhiri musim di tangga ke-12 dan disingkirkan daripada Liga Juara-Juara UEFA (UCL) oleh Real Madrid. 
Dengan jumlah seramai 33 pemain serentak sehinggakan ada antara mereka yang terpaksa menyalin pakaian di koridor kerana bilik persalinan sudah terlalu padat, musim akan datang ini nampaknya menyaksikan Chelsea bakal mulakan dengan jualan secara besar-besaran. 
Menurut akhbar The Guardian, ketika ini 16 pemain sudah dijual atau dilepaskan secara percuma, termasuk nama-nama besar seperti N'Golo Kante, Mason Mount, Kai Havertz dan Mateo Kovacic. 
Mungkin Boehly akhirnya sedar bahawa bola sepak sebenar bukanlah satu permainan di mana wang semata-mata mampu menjanjikan kejayaan dan setiap tindakan ada akibatnya yang tersendiri. 
Chelsea tidak lagi mampu untuk terus mengulangi formula musim lalu dengan berbelanja besar dan mengharapkan keajaiban berlaku, sebaliknya masalah sedia ada harus ditangani sebaik-baiknya sebelum ia merebak menjadi lebih parah. 
Namun, masalah yang mereka hadapi bukan mudah untuk diselesaikan. Pertama, dengan perpindahan begitu ramai pemain senior, mereka yang tinggal rata-ratanya adalah pemain muda dan kekurangan pengalaman. 
Di bahagian pertahanan, cuma Thiago Silva yang berusia 39 tahun boleh dilabelkan sebagai pemain berpengalaman besar. 
Pemain pertahanan yang kedua paling tua adalah Ben Chilwell yang berusia 26 tahun manakala kesemua pemain pertahanan lain adalah pemain muda. 
Bahagian tengah pasukan lebih teruk lagi -- pemain paling senior adalah Conor Gallagher yang baru berusia 23 tahun. 
Bagaimanakah jentera yang sebegitu penting dalam pasukan harus dikendalikan tanpa pemain berpengalaman di atas padang untuk dijadikan sebagai contoh dan inspirasi? 
Masalah tidak berakhir di situ buat Chelsea kerana bahagian serangan masih belum dibicarakan lagi. 
Sepanjang musim lalu, pasukan mereka terpaksa menjadikan Havertz sebagai penyerang utama walhal dia adalah pemain tengah menyerang. 
Musim ini, dengan Romelu Lukaku hampir pasti tidak akan kembali bersama kelab dan setelah Havertz dijual ke Arsenal, sememangnya tiada seorang pun pemain berpengalaman yang dapat dijadikan penyerang utama. 
Bahagian pertahanan kekurangan pengalaman, bahagian tengah kekurangan inspirasi, bahagian serangan pula bagaikan tidak wujud -- apakah yang bakal terjadi agaknya? 
Kesemua wang yang dibelanjakan pada musim lalu boleh diumpamakan digunakan untuk membeli komponen-komponen yang bersinar tetapi ketika ini tidak ada sesiapa yang tahu bagaimana hendak menggunakan segala komponen tersebut bagi membina sesuatu yang bermakna dan mendatangkan hasil yang dimahukan. 
Dengan tarikh sepak mula musim baru bakal menjelang, seharusnya selamat berjaya dan semoga kekal lama diucapkan buat pengurus baru, Mauricio Pochettino. 
Cabaran yang menanti sememangnya begitu getir sekali.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video